Rabu, 02 Agustus 2017

Petronas Raih Satu Lagi Blok Di Teluk Mexico

KUALA LUMPUR  – Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) PC Carigali Mexico Operations S.A de C.V.  memperoleh Blok 6 air cetek di Lembangan Salina Teluk Mexico.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata, Blok 6 meliputi kawasan seluas 559 kilometer persegi dengan kedalaman air antara 30 dan 80 meter, akan dikendalikan oleh PC Carigali Mexico secara usaha sama 50:50 dengan syarikat minyak nasional Colombia, Ecopetrol.

“Saya yakin kerjasama kami dengan Ecopetrol akan menggabungkan keupayaan dan kepakaran kami bagi kerjasama yang berjaya di perairan Mexico,” kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Huluan Petronas, Datuk Anuar Taib.

Pada tahun lepas, Petronas memperoleh projek laut dalam Blok 4 dan Blok 5 melalui perkongsian usaha sama, susulan lelongan pertama oleh Mexico ke atas kawasan eksplorasi laut dalamnnya.

“Mexico sebahagian besarnya kurang diterokai dan mempunyai peluang yang besar, dan kami amat gembira untuk menambah Blok 6 dalam portfolio eksplorasi kami yang semakin berkembang di Mexico, dan menjadi antara peneraju di lembangan ini.

“Ini sejajar dengan strategi kami untuk meneroka minyak di wilayah yang kurang diterokai,” kata Naib Presiden Eksplorasi, Huluan Petronas Emeliana Rice-Oxley.

Dengan jumlah keluasan kasar 5,491 kilometer persegi di Lembangan Salina, Petronas berkata, ia akan terus merangka strategi pertumbuhan di Mexico, disokong oleh pejabat baharu di Mexico City yang akan memulakan operasi pada suku ketiga tahun ini. – BERNAMA

Loading...

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar