Rabu, 02 Agustus 2017

Kastam Kaji Sistem Pengoperasian Kargo KLIA

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melakukan kajian terperinci terhadap sistem dan prosedur pengoperasian Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan antarabangsa.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam Datuk Mohd Pudzi Man berkata antara aspek yang akan ditumpukan ialah pengendalian dagangan menggunakan alamat palsu selain menambah baik prosedur penerimaan sesuatu barangan daripada peringkat ketibaan hingga dibawa keluar dari KLIA.

Katanya ini berdasarkan kekerapan kes penyeludupan yang digagalkan oleh JKDM KLIA melibatkan penggunaan alamat palsu di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA dan perkara itu perlu dibendung bagi mengelakkan KLIA dijadikan hab penyeludupan.

“Ada dagangan yang dirampas didapati menggunakan Zon Perdagangan Bebas KLIA sebagai alamat penghantaran tetapi cuba dibawa keluar menggunakan dokumen yang diluluskan kastam atas nama syarikat lain… perkara ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau juga berkata kes sedemikian sukar dibanteras kerana pengoperasian kompleks kargo itu melibatkan banyak pihak.

“Kita akan bekerjsama dengan semua pemegang taruh yang beroperasi di KLIA bagi melihat semula kaedah pengoperasian yang digunakan ketika ini kerana kita percaya kegiatan yang didalangi sindiket penyeludupan antarabangsa itu dilakukan dengan mengeksploitasi sistem dan prosedur yang digunakan ketika ini,” katanya.

Pada sidang media itu, JKDM KLIA mengumumkan kejayaannya menumpaskan cubaan menyeludup 300 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM3.86 juta dan 23 gading gajah seberat 75 kg bernilai RM275,000 dalam dua kes berasingan di kawasan gudang kargo udara KLIA tersebut pada Ahad lepas.

Mengulas kes terbabit, Mohd Pudzi berkata kedua-dua dagangan yang tergolong dalam larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu dikesan selepas tiba melalui penerbangan dari Republik Congo dan Lagos, Nigeria.

Beliau berkata sisik tenggiling tersebut ditemui di dalam enam guni yang dilabelkan sebagai ‘Fish Maw’ dalam surat muatan udara manakala 23 batang gading gajah itu dirampas daripada dua buah kotak yang disyaki membawa barang larangan import.

Guni dan kotak yang ditahan itu tiba melalui penerbangan Ethiopian Airlines dari Republik Demokratik Congo dan Etihad Airways dari Lagos dengan KLIA sebagai destinasi akhir, katanya.

Mohd Pudzi berkata kedua-dua kes disiasat menurut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata bagi 2017, setakat ini JKDM KLIA telah mematahkan lima cubaan menyeludup 1,696 kg sisik tenggiling dengan nilai melebihi RM21.23 juta.

Berhubung kes enam pegawai JKDM yang bertugas di KLIA yang ditahan polis pada Ahad dan Isnin lepas, Mohd Pudzi berkata JKDM menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dan sedia memberikan sebarang kerjasama jika diperlukan.

“JKDM sama sekali tidak akan berkompromi dengan pegawai yang tidak berintegriti dan sedia memberi sokongan kepada PDRM dalam siasatan yang dijalankan,” katanya.

Media melaporkan kesemua pegawai itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi membantu siasatan kerana dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah masuk ke negara ini. – BERNAMA

Loading...

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar