BANDAR BAHARU (KEDAH) – Sanggupkah anda meredah penjalanan yang jauh dan membelanjakan ratusan ringgit hanya untuk makan durian?
Peminat tegar atau dirujuk sebagai ‘hantu durian’ pastinya berbuat demikian.
Kini, dusun-dusun durian di Bandar Baharu dan sekitarnya didatangi orang ramai yang ingin menikmati durian Duri Hitam yang sememangnya sinonim dengan kawasan ini.
Mendapat jemputan pemilik-pemilik dusun di Bandar Baharu, penulis dan rakan media tidak melepaskan peluang untuk ke sana.
Tidak mudah untuk sampai ke dusun berkenaan kerana kami perlu meninggalkan kenderaan di kaki bukit, dan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan pemilik dusun untuk sampai ke destinasi, terletak kira-kira dua kilometre di atas bukit.
Bak kata orang,”Tak kenal maka tak cinta,” demikian yang dapat penulis katakan mengenai keenakan durian Duri Hitam.
SANGGUP RENTAS SEMPADAN NEGARA
Mungkin ada yang menganggap rasa kesemua jenis durian sama sahaja. Tapi tidak bagi penggemar durian, apatah lagi peminat tegar. Seringkalinya mereka mengakui dapat membezakan rasa antara jenis-jenis durian.
Durian Duri Hitam dikatakan antara yang paling popular sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Nama-nama durian premium lain termasuk Musang King, XO, Udang Merah, D24, D13, D 101 dan banyak lagi. Selalunya raja buah itu hanya disebut berdasarkan jenisnya seperti Duri Hitam atau Musang King.
Isi Duri Hitam berwarna pinang masak, manakala rasanya manis dan lemak berkrim dengan sedikit pahit, teksturnya yang halus lembut sangat memikat selera.
Tidak hairanlah jika ramai yang sanggup memandu ratusan kilometer dan membayar lebih RM100 sekilogram untuk menikmati Duri Hitam. Malah penggemar durian dari luar negara sanggup merentas sempadan hanya untuk menikmatinya.
Tedapat pelancong dari China pernah memberitahu seorang pemilik dusun di sini bahawa tiket penerbangannya lebih murah berbanding harga Duri Hitam atau Musang King, justeru mereka sanggup ‘terbang’ ke negara ini untuk menikmati durian itu.
HITAMKAH DURINYA?
Jika diamat-amati Duri Hitam yang juga dikenali sebagai Ochee kelihatan sama seperti durian lain, berduri dan berwarna hijau. Jadi kenapa dipanggil Duri Hitam?
Pemilik dusun durian Serene Orchard di Bukit 90 Relung, Permatang Kerat Telunjuk, di sini, Heng Mee Oo (lelaki) menjelaskan, durian itu mendapat namanya kerana terdapat duri halus berwarna hitam pada ruang sebesar syiling 50 sen di bahagian bawah durian itu.
Menurut pengusaha dusun yang juga pengeluar terbesar Duri Hitam di Bandar Baharu ini, walaupun agak mudah tertanggal, duri berkenaan kekal pada buah sehingga masak dan dipungut.
“Ciri istimewa itulah yang membezakan Duri Hitam dengan jenis durian lain kerana duri hitam seumpama itu pada buah jenis lain akan gugur beberapa minggu sebelum buah matang,” tambahnya.
Heng juga memberikan beberapa panduan bagi memastikan keenakan durian klon itu dapat benar-benar dinikmati.
ISI BERKEDUT LEBIH LAZAT
Duri Hitam perlu diketuk sedikit atau dijatuhkan ke tanah terlebih dahulu bagi mendapatkan kedutan pada isinya selain untuk menyemarakkan lagi aroma durian itu.
“Lagi banyak kedutan orang tua atau ‘wrinkle’ pada ulas durian, bertambah lazat isinya. Tapi jangan ketuk atau jatuhkan secara keterlaluan, nanti terlampau berkedut dan buah boleh rosak,” katanya berkongsi teknik untuk menikmati.
Heng juga berpesan agar tidak gelojoh, supaya menjamah isi Duri Hitam secara perlahan-lahan agar dapat menikmati keenakan rasanya yang “lemak melekat” di rongga mulut dan tekak.
“Selepas makan, basuh mulut dan jari saja. Jangan minum air dalam tempoh 20 minit hingga 30 minit. Barulah sempurna rasa Duri Hitam. Teknik ini akan mengurangkan rasa tak selesa selepas makan durian,” jelasnya merujuk kepada tabiat sendawa selepas makan raja buah itu.
Berat setiap Duri Hitam adalah kira-kira 1.5 hingga 2.0 kilogran dan harganya boleh mencecah RM110 sekilogram bagi pasaran tempatan dan lebih RM300 bagi pasaran antarabangsa.
Pengeluaran di dusun seluas 37 hektar itu yang ditanami 6,000 pokok, 2,000 daripadanya sudah matang dan membuahkan hasil masih belum mencukupi berikutan permintaan yang sangat tinggi.
Jadi, Heng sangat menggalakkan peladang yang mempunyai dusun durian tetapi tidak mengeluarkan hasil yang baik supaya menggunakan teknik cantuman pokok dewasa bagi menghasilkan klon Duri Hitam ini.
Tidak kedekut ilmu, Heng yang sanggup berkongsi pengetahuan dengan peladang yang berminat memberitahu bahawa teknik itu bukan saja mendatangkan hasil yang lumayan malah tempoh mendapatkan hasil juga sangat pendek iaitu antara tiga hingga empat tahun sahaja.
TEKNOLOGI CANTUMAN POKOK DEWASA
Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Bandar Baharu, Awang Iffaizul Awang Mohd Sapuani berkata pihaknya mahu lebih ramai pemilik dusun durian di daerah itu dan berdekatan mengambil inisiatif menanam durian menggunakan klon Duri Hitam mengikut kaedah cantuman pokok dewasa.
Selain dapat menghasilkan kualiti buah durian bermutu dan berbuah dalam tempoh yang cepat, teknik berkenaan juga dapat memulihkan dusun yang tidak mampu memberi pulangan lumayan berikutan pokok sedia ada sudah tua dan tidak produktif lagi.
Beliau berharap pengusaha dusun dapat membuang rasa `sayang’ terhadap pokok lama yang perlu di tebang bagi membolehkan penanaman baharu.
“Rasa sayang itu akan hilang sebaik sahaja pengusaha mula mendapat hasil lumayan dalam tempoh tiga tahun berikutnya,” katanya.
Awang Iffaizul berkata program pemulihan dusun telah dilakukan dan mula menunjukkan hasil di dua kawasan iaitu di Relau dan Sungai Kecil Hilir di sini.
BANDAR BAHARU HUB DURIAN PREMIUM
Pengusaha Nictron Agriculture Sdn Bhd, Patrick Saw pula berkata teknik tanaman yang semakin canggih serta struktur tanah dan cuaca yang sesuai di negeri ini membolehkan durian dituai sepanjang tahun dengan dua musim kemuncak iaitu pertengahan dan hujung tahun.
“Dengan harga getah yang tidak menentu, kita berharap pengusaha getah dapat mentransformasikan tanah kebun getah kepada penanaman durian gred premium ini,” tambah beliau.
Beliau yakin pulangannya sangat berbaloi di mana harga setiap durian termasuk Musang King dan Duri Hitam mampu mencecah melebihi RM100 sekilogram dan lebih penting, sudah menembusi pasaran antarbangsa.
Bukan itu saja, katanya, sudah tiba masanya Bandar Baharu dilabelkan sebagai lubuk durian terbaik negara memandangkan hampir 85 peratus pengeluaran durian gred tinggi berasal dari kawasan berkenaan.
“Kita harus mengambil inisiatif dengan menambahkan sumber pengeluaran buah ini. Permintaan bukan saja dari China, Singapura dan Hong Kong malah Eropah.
“Jenis tanah dan landskap di Bandar Baharu sangat sesuai malah terdapat banyak pokok durian dari pelbagai jenis. Jika dapat memaksimumkan pengeluaran buah bermutu tinggi seperti Duri Hitam dan Musang King, saya pasti Bandar Baharu akan menjadi pusat tumpuan durian di Malaysia,” katanya.
– BERNAMA
Loading...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar