Rabu, 02 Agustus 2017

Hargai Siti, SRC Terbit Album Piring Hitam

SITI Nurhaliza yang juga merupakan penyanyi terkenal tanah air merupakan salah seorang artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) sekitar 1997.

Pewaris SRC, Edwin Tan, 49, yang juga Pengarah Urusannya menyifatkan SRC turut terkena tempias di atas kepopulariti yang dimiliki oleh penyanyi No.1 negara itu.

“Siti seorang penyanyi yang sangat hebat dan popular. Kerana Siti, label SRC semakin dikenali ramai. Ketika Siti baru bernaung bawah SRC, saya menguruskan kewangan syarikat serta ditugaskan di bahagian promosi,” katanya, memetik laporan sebuah akhbar.

Atas permintaan peminat-peminatnya, SRC telah menerbitkan dan menjual piring hitam bagi setiap album penyanyi nombor satu negara itu.

“Sebenarnya masih ada lagi peminat muzik yang menyimpan dan mengumpul piring hitam. Disebabkan permintaan itu, timbul idea untuk kami menghasilkan album artis naungan kami dalam bentuk piring hitam,” tambahnya lagi.

Edwin juga menyatakan 1,000 keping piring hitam terjual pada percubaan pertamanya menerusi lagu Jerat Percintaan.

Walaupun harga piring hitam itu agak mahal, namun disebabkan sambutan menggalakkan daripada peminat Siti, SRC mengambil keputusan untuk menerbitkan lagi koleksi tersebut menerusi album Aku Cinta Padamu yang telah dirasmikan pada 21 Julai lalu.

Pun begitu, Edwin juga berhasrat untuk menerbitkan album artis lain di bawah naungan mereka pula jika diterima baik peminat.

Kini, SRC masih aktif dan tidak berputus asa dalam menghasilkan album dan lagu buat penyanyi generasi baharu seperti Wani Kayrie, Putera Muhammad, Zahid Baharudin, Syuhada Amin dan ramai lagi. – MYNEWSHUB / Aisyah Karim

Loading...

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar