Rabu, 02 Agustus 2017

Malaysia Kutuk Penutupan Masjidil Aqsa Baru-baru Ini

PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Israel menutup Masjidil Aqsa pada 14 Julai.

Pada mesyuarat luar biasa terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki pada Selasa (1 Ogos), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan provokatif Israel itu merupakan perbuatan yang secara terang-terangan mencabuli kesucian tempat suci Islam.

“Tindakan seperti itu juga secara serius mencabuli hak umat Islam untuk beribadah secara aman, bebas daripada keganasan, ancaman dan provokasi,” katanya pada mesyuarat berkenaan yang diadakan bagi membincangkan perkembangan membimbangkan di Al-Quds Al-Sharif, khususnya pencabulan Israel terhadap kesucian Masjidil Aqsa, dan keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Anifah mengingatkan bahawa kebebasan untuk menunaikan ibadat adalah hak yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa.

“Kita perlu tentang sebarang bentuk pencabulan seperti itu,” katanya.

Sehubungan itu, kami mengulangi seruan kepada Israel supaya tidak menyekat akses ke Masjidil Aqsa. Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa tempat beribadat wajib dihormati dan dipulihara. Kami juga menggesa Israel supaya menghentikan semua aktiviti yang boleh mengubah status quo dan ciri-ciri tempat suci Islam,” katanya.

Anifah berkata Malaysia menyeru semua pihak supaya menahan diri daripada melakukan tindakan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan dan keganasan di Baitulmuqaddis Timur.

Katanya, pertempuran terbaru antara pasukan keselamatan Israel dan penduduk Palestin pada 24 Julai di Tebing Barat mengakibatkan banyak kecederaan dan jika tidak ditangani dengan sewajarnya, keganasan yang tercetus akan mengakibatkan penderitaan, kematian serta kemusnahan yang tidak terhingga di wilayah Palestin yang diduduki Israel .

Anifah berkata perkembangan di Baitulmuqaddis Timur amat membimbangkan dan rancangan yang diumumkan Israel untuk menambah pembinaan rumah pada kadar lebih 30 peratus daripada jumlah tahun lepas di Baitulmuqaddis Timur merupakan perbuatan yang secara terang-terangan melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu 2334 (2016).

“Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu supaya menunaikan tanggungjawabnya bagi melaksanakan resolusi bersejarah itu.

“Membiarkan resolusi itu terus tidak dilaksanakan bererti kegagalan mengundurkan kembali trend negatif yang mengancam penyelesaian melalui kewujudan dua negara,” katanya.

Malaysia, kata beliau, amat yakin bahawa penyelesaian melalui kewujudan dua negara tetap merupakan penyelesaian paling berdaya maju bagi kedua-dua pihak.

“Malaysia ingin menegaskan sekali lagi sokongan padu kami terhadap usaha mencari penyelesaian secara adil, menyeluruh  dan berkekalan bagi mencapai penyelesaian melalui kewujudan dua negara, dengan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdasarkan sempadan yang wujud sebelum 1967, dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” kata beliau.

Anifah berkata Malaysia memuji dan menyokong usaha Raja Abdullah II ibni Al-Hussein, Raja Kerajaan Hashemit Jordan dan Penjaga Wilayah Suci Baitulmuqaddis, supaya mengembalikan ketenangan di bandar suci itu. – BERNAMA

Loading...

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar