MIRI – Bagi Alexander Jaya, 34, memiliki rumah sendiri adalah satu impian apatah lagi kini masuk 17 tahun menyewa rumah dengan kadar RM350 sebulan.
Harga rumah yang mahal di bandaraya Miri menyebabkan impian itu sukar dicapai dan ditambah pula dengan statusnya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) akibat kemalangan kendiri pada tahun 2009 semasa dalam perjalanan balik dari tempat kerja.
Namun impian bapa dua orang anak itu kini menjadi kenyataan apabila akhirnya mampu memiliki rumah sendiri menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR), sebuah projek perumahan kerajaan persekutuan yang prihatin dengan keperluan golongan kurang kemampuan.
PPR dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Dengan tempoh pinjaman 30 tahun serta bayaran bulanan RM321 sebulan, Alexandar tidak sabar untuk berpindah ke rumah teres satu tingkat PPR Lambir itu dalam masa terdekat.
“Saya tidak sabar berpindah sebab bayaran pinjaman sudah mula dibayar Jun 2017 dan kini saya terpaksa membayar sewa rumah dan bayaran pinjaman serentak,” katanya kepada pemberita selepas menerima replika kunci rumahnya itu hari ini.
Alexander yang menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak sabar untuk meraikan Krismas pada penghujung tahun ini di rumah baharunya.
Bong Wan Tzen, 36, seorang ibu kepada tiga anak berkata memiliki rumah sendiri adalah idaman sejak mendirikan rumah tangga sejak 10 tahun lalu.
“Sekarang saya menetap dengan ibu bapa saya, sangat bersyukur dan gembira setelah menanti 10 tahun untuk mendapat rumah sendiri dan hari ini secara rasmi berjaya mendapat seunit rumah,” kata pekerja sebuah syarikat swasta itu.
Khairul Anwar Jaman, 29, yang juga bapa kepada dua anak bersyukur kerana diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri kerana sebelum ini tinggal di rumah keluarga di Kampung Lambir.
Alexander, Bong dan Khairul ialah antara 10 penerima kunci rumah PPR Lambir itu daripada Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Abdul Rahim Ishak dalam ucapan sebelum penyerahan replika kunci itu berkata, sebanyak enam projek melibatkan 3,521 unit rumah PPR telah berjaya disiapkan di Sarawak dengan lokasinya di Kuching, Siburan, Sibu, Bintulu dan Miri.
Beliau berkata, sebanyak lima projek melibatkan 1,451 unit rumah PPR sedang dalam pembinaan di Kuching dan Samarahan.
“Bagi 2017 Sarawak telah diluluskan satu projek PPR iaitu di Seduan, Sibu dengan kos sebanyak RM99.36 juta untuk pembinaan 461 unit teres satu tingkat,” katanya.
Untuk projek PPR Lambir, beliau berkata, sebanyak 505 unit rumah teres satu tingkat itu dibina dengan kos RM89.21 juta di tapak seluas 38.2 ekar atau 15.3 hektar. – BERNAMA
Loading...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar