KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan seorang anggota Dewan Rakyat yang mengheretnya ke mahkamah kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuatnya di dalam Dewan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Anggota Parlimen supaya tidak lagi membangkitkan mengenai peraturan mesyuarat sehingga menyebabkan beliau membuat keputusan tertentu.
“Saya harap tidak ada mana-mana Yang Berhormat membangkitkan peraturan mesyuarat, sebab jika Yang Berhormat berbuat begitu, saya terpaksa membuat keputusan.
“Sekarang ini Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) tidak boleh lagi buat keputusan (dalam dewan)… sebab jika buat, akan diheret ke mahkamah,” katanya semasa mempengerusikan perbahasan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan Pandikar merujuk kepada tindakan Anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian yang memfailkan saman terhadap beliau dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah pagi tadi kerana tidak berpuas hati setelah dua soalannya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak.
Hee berkata Pandikar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu menjelaskan mengapa soalannya ditolak sedangkan isu yang dibangkitkannya penting untuk rakyat. – BERNAMA
Loading...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar