Rabu, 02 Agustus 2017

Bayi meninggal tersembam ke bantal dalam buaian

GEORGE TOWN: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat kesukaran bernafas apabila mukanya tersembam ke bantal ketika tidur di rumah keluarganya di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, hari ini.

Kejadian disedari ibunya, Melati Mohammad @ Ahmad, 32, yang baru pulang dari kerja di kilang kira kira jam 7.30 pagi Rabu.

Menurut Melati, anak bongsunya itu, Faris Rayyan Qhumainy, berada di rumah bersama suaminya, Faizul Firdaus.

Dia yang baru pulang dari kerja terkejut apabila melihat Faris tertiarap dengan mukanya tersembam ke bantal di dalam buaian dan sudah tidak sedarkan diri serta pucat.

Dia dan suami kemudiannya membawa bayi itu ke Hospital Balik Pulau.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan Faris Rayyan Qhumainy sudah meninggal dunia.

Melati yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang berkata, anaknya berkemungkinan meniarap di dalam buaian dan tersembam, menyebabkannya sukar bernafas.

Katanya, bayi itu baru pandai meniarap beberapa hari lalu.

Menurutnya, jenazah anak bongsunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Batu, Teluk Kumbar selepas urusan bedah siasat selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A Anbalagan mengesahkan kejadian terbabit.

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar