Kuala Lumpur: “Saya sudah reda dengan ketentuan Allah SWT apabila penglihatan anak ditarik secara tiba-tiba namun saya belum bersedia kehilangannya buat selama-lamanya.”
Itu luah Nor Salwati Abu Bakar, 29, yang tidak henti berdoa supaya anak bongsunya Muhammad Faiz Muhammad Abdul Shukor berusia dua tahun yang menderita kanser mata tahap empat dipanjangkan umur.
Menurut Nor Salwati, nalurinya sebagai ibu seakan tidak boleh menerima hakikat apabila Muhammad Faiz yang dilahirkan normal sebenarnya menghidap kanser mata seawal umur setahun.
“Pada September tahun lalu, mata Muhammad Faiz merah seperti sakit mata sehingga menimbulkan kerisauan kepada saya dan suami yang pada ketika itu sibuk bekerja bagi menampung keperluan keluarga.
“Namun saya berasa tidak sedap hati kerana mata anak semakin membengkak dan dia tidak berhenti menangis.
“Malangnya semasa mendapatkan rawatan semuanya sudah terlambat apabila doktor mengesahkan anak menghidap kanser mata tahap empat,” katanya yang menetap di Kuala Kangsar, Perak.
Kata Nor Salwati, keadaan semakin parah apabila doktor mengesahkan sel kanser berkenaan sudah menyerang sistem otak Muhammad Faiz yang mengakibatkan organ dalaman lain turut terjejas.
“Muhammad Faiz kini hanya bergantung dengan rawatan kemoterapi dan ubat tahan sakit kerana tiada rawatan lain yang sesuai untuknya.
“Doktor juga memaklumkan harapannya untuk sembuh sangat tipis.
“Kini, mata kiri anak tersembul keluar dan mata kanan turut buta selain dia tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak lain.
“Hati saya tidak kuat sekiranya terpaksa berdepan dengan pemergian anak dalam masa terdekat,” katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Lebih malang, kehidupan Nor Salwati semakin terhimpit dengan kesusahan apabila perlu menjaga Muhammad Faiz dan dua lagi anak yang bersekolah sementara suami hanya mampu menjana pendapatan bulanan RM1,000 daripada pekerjaan kampung.
Orang ramai yang
ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun BSN Nor Salwati Abu Bakar (0820041000171194).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar