KUALA LUMPUR – Pemilik rekod Sukan SEA bagi acara lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail kini tampak lebih yakin untuk mempertahankan emas temasya sukan dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.
Beliau yang bergelut dengan masalah kecederaan selepas mencatatkan rekod Sukan SEA dengan lompatan sejauh 16.76 meter (m) di Singapura dua tahun lalu, yakin mampu mencapai kemuncak prestasinya dalam masa tiga minggu lagi.
“Memang saya mengalami banyak kecederaan selepas Sukan SEA Singapura, tetapi dari situ saya belajar banyak perkara seperti cara mengelak kecederaan dan pemulihan. Buat masa ini prestasi saya kembali ke tahap lama dan kefahaman antara badan dan otot lebih baik.
“Jadi saya yakin mampu mempertahankan pingat emas. Persaingan memang agak sengit kali ini, tetapi ia membuat saya mencabar diri saya meningkatkan prestasi,” katanya pada sidang media program “Kita Juara” bersama skuad olahraga di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.
Muhammad Hakimi menjadi wira negara apabila menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul pingat emas dengan mencatatkan rekod kejohanan di Stadium Nasional Singapura. Kali terakhir Malaysia meraih emas bagi acara tersebut ialah pada Sukan SEA 1997 di Indonesia menerusi Mohd Zaki Sadri dengan catatan 16.05m.
Namun, berdasarkan prestasi semasa, atlet berusia 26 tahun itu kini berada di kedudukan kedua di rantau Asia Tenggara di belakang peserta Filipina, Mark Harry Diones, selain tidak mengetahui kemampuan sebenar lawan dari Thailand.
Catatan terbaik beliau tahun ini ialah 16.45m di Almaty, Kazakhstan Jun lepas dan 16.33m di Terbuka Malaysia dua minggu lalu sementara Mark memecahkan rekod kebangsaan negara itu dengan lompatan sejauh 16.70m pada awal April.
Sementara itu, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas berkata dua atlet muda, Noor Shahidatun Nadia Mohammad Zuki, 21, dan R. Kirthana, 20, akan mewakili negara dalam acara lompat jauh dan lompat kijang wanita.
“Bagi acara lompat jauh lelaki, Luqman Hakim Ramlan dan jaguh Paralimpik Rio, Abdul Latif Romly akan membawa cabaran negara dan Muhammad Hakimi pula diletakkan senarai simpanan sekiranya berlaku kecederaan kepada mereka.
“Di edisi Singapura, olahraga menerima kritikan hebat selepas hanya mampu membawa pulang tiga emas, tetapi kali ini kami yakin mampu menggandakannya kepada enam atau tujuh pingat emas,” katanya.
Dalam pada itu, Zainal berkata skuad olahraga negara kini tidak dapat menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil kerana venue tersebut digunakan untuk persiapan majlis pembukaan rasmi Sukan SEA yang dijadualkan pada 19 Ogos ini. – BERNAMA
Loading...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar