BAYI perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia semalam, selepas tiga hari dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, akibat tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh di rumah pengasuh.
Haifa Afrina Mohd Nasri disahkan meninggal dunia 3.40 petang ketika masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB Alor Setar.
Bapa mangsa, Mohd Nasri Mohd Yusoff, 26, berkata, dia menerima kiriman WhatsApp daripada pengasuh anaknya memberitahu Haifa Afrina tidak sedarkan diri ketika di rumah pengasuh di Padang Serai, Kulim pada 4 petang Jumaat lalu.
Katanya, Haifa Afrina dihantar ke rumah pengasuh sejak dua minggu lalu selepas isterinya bekerja di sebuah kilang berhampiran di Kulim.
“Arwah tidak nampak perubahan atau menangis cuma ada luka di dahinya. Pengasuh juga ada beritahu anak saya pernah terjatuh sehari sebelum itu dan luka di dahi kanan.
“Kami menghantarnya ke Hospital Kulim sebelum dipindahkan ke HSB dan dimasukkan ke ICU sebelum meninggal dunia petang semalam,” katanya yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, hari ini.
Jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Naya, Arau, Perlis sebaik urusan bedah siasat selesai dilakukan.
Turut hadir, Ketua Zon 1 Kedah Penguasa Kanan Bomba II Abdul Jalil Ishak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis menahan pengasuh terbabit hari ini bagi membantu siasatan.
“Kita masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Sumber: Harian Metro
sumber:siakapke.li
Tidak ada komentar:
Posting Komentar