Senin, 31 Juli 2017

Pemimpin UMNO jangan emosi tangani provokasi pembangkang - Syed Ali

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO jangan terlalu emosi menangani provokasi pembangkang kerana dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan rakyat terhadap kredibiliti pemimpin parti.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, parti pembangkang sememangnya sengaja memasang perangkap dengan terjahan isu tidak relevan supaya pemimpin UMNO akan menjadi 'latah' dan bertindak balas.

"Pembangkang menggunakan dua kaedah untuk menyerang pemimpin UMNO sebagai strategi mereka menarik perhatian rakyat menjelang PRU-14.

"Pertama, pembangkang sengaja mencetuskan persepsi dan keduanya melakukan serangan provokasi secara terancang dan sukar dikesan," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Lim Kit Siang tidak mampu kalahkan PM Najib bersendirian - Salleh

BACA: Pemimpin UMNO jangan ikut perangai 'ketam dalam bakul' - TPM Zahid

Tegasnya, persepsi dan provokasi dilakukan pembangkang dengan tujuan membangkitkan keresahan dan kemarahan pemimpin UMNO berhubung sesuatu isu walaupun isu itu sekadar fitnah.

"Inilah yang berlaku, apabila kita marah, sudah pasti emosi akan mendahului pertimbangan akal.

"Kesannya, rakyat akan mula menilai betapa rendahnya moral dan akal budi pemimpin UMNO kerana terlalu emosil menangani sesuatu isu.

"Seseorang pemimpin yang terperangkap dengan mainan emosi hanya akan memberi kesan negatif kepada parti dan pucuk pimpinan," jelasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan menambah, serangan provokasi itu turut mendapat sokongan media sosial yang pro-pembangkang.

"Penggunaaan media sosial dan perperangan siber semakin disemarakkan oleh pembangkang untuk menabur fitnah dan tohmohan.

"UMNO perlu lebih serius menangani wabak ini supaya rakyat kekal percaya bahawa persepsi dan provokasi itu sebenarnya tidak berasas.

"Kita tidak mahu rakyat menunding jari kepada UMNO dengan anggapan parti menjadi teruk dan pemimpinnya sudah tidak boleh dipercayai percayai, ini perlu diperbetulkan secara konsisten," tegasnya.

Katanya, isu kebimbangan yang menimbulkan masalah atau bermain dengan emosi barangkali hanya segelintir tetapi hukuman dijatuhkan rakyat secara total kepada UMNO.

Katanya lagi, rakyat akan dihidangkan dengan persepsi kononnya UMNO sudah teruk sedangkan tanggapan sedemikian terlalu meleset.

"Oleh sebab itu, pemimpin UMNO perlu bijak mengurus persepsi dan serangan provokasi yang dilakukan oleh pembangkang.

"Kadang-kadang kita turut sama terpedaya dan terperangkap dengan provokasi pembangkang, ini yang terjadi dan kita gagal bertindak balas," ujarnya.

Pembangkang kata Syed Ali, amat sedar bahawa UMNO masih kuat dan relevan kepada perjuangan orang Melayu di negara ini.

"Serangan emosi juga menjadi senjata pembangkang untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap UMNO menjelang PRU akan datang.

"Mereka (pembangkang) akan cetuskan sentimen kemarahan dan kecenderungan tindak balas pemimpin UMNO dan akhirnya mereka akan memanipulasi tindakan tersebut untuk agenda politik mereka," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pemimpin UMNO supaya lebih berhemah dan tidak terlalu emosi mengurus persepsi dan serangan provokasi pembangkang.

Dalam masa yang sama, beliau mahu jentera UMNO tidak menggunakan isu peribadi untuk menyerang parti lawan.

"Biarlah kita lebih berhemah, tertib dan yang paling penting kita (UMNO) masih memiliki moral politik yang tinggi berbanding pembangkang," tegasnya.

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar