Senin, 31 Juli 2017

Dr Mahmud Ahmad, ‘Bendahari’ Militan IS

KUALA LUMPUR – Militan warga Malaysia, Dr Mahmud Ahmad disebut-sebut sebagai pakar senjata dan amat dipercayai dalam hierarki kumpulan IS.

Malah, dia turut dianggap sebagai ‘bendahari’ kerana peranannya sebagai orang tengah untuk mendapatkan wang bagi kumpulan militan itu.

Difahamkan sejak 2014, bekas pensyarah Universiti Malaya itu menerima sumbangan lebih RM500,000 daripada militan IS dan individu yang bersimpati dengan kumpulan tersebut.

Sumber perisikan berkata dana itu disalurkan kepada Dr Mahmud melalui kurir dan kaedah dead drops sejak dia melarikan diri ke selatan Filipina, tiga tahun lalu.

“Kurir, kebanyakan dari Malaysia dan Indonesia akan diterbangkan ke Tawau sebelum menggunakan laluan haram untuk ke Mindanao.

“Di sana, mereka akan meninggalkan beg berisi wang tunai di kawasan ditetapkan untuk diambil militan lain yang akan menyerahkannya kepada Dr Mahmud,” kata sumber kepada The Star.

Arahan untuk memindahkan wang akan dihantar melalui aplikasi Telegram yang penggunaannya telah diharamkan oleh Indonesia.

Sumber berkata modus operandi itu digunakan untuk menghalang penahanan Dr Mahmud oleh pihak berkuasa.

Ketika dihubungi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan mengesahkan Dr Mahmud menggunakan kurir untuk menerima dana dan wang tunai yang disalurkan ke Mindanao sejak 2010.

“Kami turut mendapati Dr Mahmud menggunakan perkhidmatan pemindahan kawat antarabangsa untuk mendapatkan dana,” kata Ayob kepada The Star.

Ayob berkata pasukannya telah mengambil langkah proaktif dengan menahan mereka yang bertanggungjawab menyalurkan dana kepada kumpulan militan IS di Syria dan Filipina.

“Kami telah menahan 19 suspek di atas kesalahan membiaya kumpulan pengganas.”Kira-kira 16 individu didakwa di mahkamah dan tiga lagi ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Tiga daripada mereka menyalurkan lebih RM200,000 kepada Dr Mahmud,” katanya.

Ayob berkata risikan terbaharu menunjukkan Dr Mahmud juga berhubung dengan militan Indonesia di Syria mengenai pemindahan dana ke selatan Filipina.

“Kami mendapati kenalan warga Indonesia yang dihubungi Dr Mahmud memberitahu militan lain di Indonesia untuk membuka akaun bank baharu di sana.

“Dana seterusnya akan dimasukkan ke dalam akaun baharu ini yang akan disalurkan kepada militan lain yang mahu menyertai kumpulan itu di selatan Filipina,” katanya. – mStar Online

Loading...

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar