Senin, 31 Juli 2017

Nombor Khas Untuk Pengguna Rapid Buat Aduan

KUALA LUMPUR – Rapid mewujudkan nombor talian khas 0107664472 bagi pengguna LRT, MRT dan Monorel menyampaikan maklum balas dan imej berkaitan salah laku atau laku musnah yang mereka alami semasa menggunakan mode pengangkutan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata pengguna boleh mengambil gambar dan berkongsi maklum balas dengan menghantar mesej WhatsApp kepada nombor tersebut.
Ia akan dikendalikan Pusat Hubungan Rapid KL.

“Maklum balas ini sama ada baik atau tidak baik akan dikongsi pula dengan pihak berkaitan untuk tindalan lanjut. Ini merupakan satu kempen baharu Rapid,” katanya dalam satu kenyataan.
Zohari berkata ia dilakukan susulan sungutan orang ramai mengenai vandalisme dan salah laku sesetengah pengguna ke atas aset MRT laluan Sungai Buloh-Kajang yang perkhidmatannya baru dilancarkan pada 17 Julai lalu.

“Sementara kami memiliki ratusan anggota keselamatan yang bertugas dan ribuan kamera litar tertutup (CCTV), namun kami masih memerlukan kerjasama orang awam,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun berkata kempen tersebut akan turut dipanjangkan untuk perkhidmatan bas Rapid KL sekiranya saluran maklum balas baharu itu mendapat sambutan orang ramai.

Beliau juga berkata maklum balas segera mengenai status perkhidmatan rel dan bas Rapid KL boleh diperoleh melalui Twitter @AskRapidKL atau mesej di Facebook MyRapid. – BERNAMA

Loading...

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar