Senin, 31 Juli 2017

Bakal Haji Terkandas Akibat Kelewatan Dapat Visa

Bakal Haji Terkandas Akibat Kelewatan Dapat Visa

Tabung Haji menjelaskan kelewatan pengeluaran visa disebabkan jumlah permohonan yang terlalu tinggi. (Gambar: Official : Lembaga Tabung Haji - Facebook)

Pada 24 Julai lalu seramai 483 bakal haji berlepas ke Tanah Suci dalam penerbangan pertama (KT01) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.50 pagi. 

Penerbangan menaiki penerbangan Malaysia Airlines dengan pesawat MH8000 itu menandakan bermulanya rombongan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima. Secara keseluruhannya, jemaah haji Malaysia pada tahun ini berjumlah 30,200 orang dan mereka akan bertolak secara berperingkat menaiki 112 penerbangan ke Tanah Suci. 

Penerbangan terakhir pada 26 Ogos 2017. Kesemua jemaah haji terbabit dijadualkan pulang ke tanah air pada 7 September manakala penerbangan terakhir dari Arab Saudi ialah 4 Oktober depan.

Dalam pada itu, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terlebih dahulu sudah menghantar 209 petugas bagi menguruskan persiapan untuk jemaah haji termasuk penginapan serta membuka pejabat operasi di Madinah. 

JEMAAH HAJI LEWAT DAPAT VISA 

Bagaimanapun, dalam keterujaan bakal haji Malaysia untuk menyahut panggilan ke Makkah, timbul isu sebilangan mereka mengalami kelewatan penerbangan ke sana disebabkan urusan visa haji.

Menurut Tabung Haji, jemaah haji yang terlibat dalam isu itu bagaimanapun tidak ramai iaitu kurang daripada satu peratus. Kesulitan itu berlaku kerana kelulusan untuk mendapatkan visa perlu melalui proses yang terperinci untuk setiap jemaah haji termasuk data peribadi, perjanjian tempat penginapan di Makkah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan dan sajian serta butiran bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

Justeru, kelewatan pengeluaran visa juga disebabkan oleh permohonan yang terlalu tinggi dalam sistem tersebut yang mengendalikan berjuta permohonan jemaah haji dari seluruh dunia.

TABUNG HAJI MOHON MAAF

Tabung Haji bagaimanapun optimis bahawa isu itu boleh diselesaikan dengan segera. Jelas mereka, pihak kedutaan sentiasa bekerjasama dan memantau bagi mendapatkan dan mencetak visa jemaah haji yang terlibat termasuk pada hari cuti hujung minggu. 

Masalah itu djangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan kesemua jemaah terpilih akan meneruskan perjalanan selepas urusan mereka dipermudahkan. 

Sehubungan itu, Tabung Haji memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh jemaah haji terbabit dan menasihati mereka yang menghadapi masalah kelewatan visa supaya bersabar kerana proses mendapatkan visa haji sedang giat dijalankan.

"Para jemaah akan diterbangkan ke Tanah Suci sebaik sahaja visa diperolehi. Tabung Haji turut menyediakan tempat penginapan dan makanan di Kompleks Haji Kelana Jaya kepada jemaah haji yang terlibat di mana kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak TH," katanya.
 

sumber:siakapke.li

Tidak ada komentar:

Posting Komentar